Friday, December 5, 2008

HIDUP SEBELUM MATI

‘RUMAH’ kata pergi, kubur kata mari’. Itulah ungkapan yang biasa dilafazkan oleh masyarakat Melayu untuk menggambarkan usia seseorang yang semakin lanjut usia.
Barangkali definisi umur tua itu dianggap subjektif kepada sesetengah golongan.
Ini kerana pada sebilangan kecil kaum Muslimin, walaupun usia semakin bertambah banyak, dengan fizikal yang sihat dan kuat, pertambahan umur setiap tahun tidak begitu dirasakan.
Namun, kepada mereka yang bekerja ‘makan gaji’, mahu tidaka mahu hakikat tua terpaksa ditelan, kerana tarikh persaraan mesti dibilang saban tahun.
Apatah lagi sesudah sebahagian ‘simpanan hari tua’ KWSP diterima sebaik sahaja hari lahir yang ke-50 tahun.
Rupa-rupanya, penentuan tarikh persaraan ini banyak hikmahnya kepada kita sebagai umat Muhammad s.a.w.
Sekurang-kurangnya bagi kta yang masih terleka dibuai kenikmatan duniawi, ia bagaikan peringatan bahawa masih ada lagi kehidupan selepas ini.
Pesan Nabi Muhammad s.a.w “ Allah telah menerima uzur atau alasan seseorang yang melambatkan ajalnya sehinggalah ia mencapai umur 60 tahun.” (Riwayat Bukhari).
Imam As- Sayuti juga pernah mengingatkan, “ Apabila kamu berumur 60 tahun, sediakanlah kain kapanmu.”
Sudah pasti kita semua ingin termasuk dalam golongan orang-orang terbaik seperti disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :
“ Orang yang terbaik adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya. Dan orang yang terburuk adalah orang yang panjang umurnya tetapi buruk amalannya.”
Akhirnya marilah kita renungkan bersama pesan junjungan kita Muhammad s.a.w yang dinyanyikan oleh kumpulan Nasyid Raihan:
“ Ingat lima perkara sebelum lima perkara : muda selum tua, lapang sebelum sibuk, sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, hidup sebelum mati.”

No comments: