Wednesday, February 17, 2010

Warna Aura

Nikmati Masa Hidup Selagi Ada Waktu. Bila Hidup
Bertemu Penghujung, Masa Tidak Bisa Berpatah Lagi


Merah

mereka yang mempunyai aura berwarna merah adalah seorang yang aktif, produktif, selalu memandang masa hadapan dan pelbagai lagi sifat. Namun, pada masa sama mereka ini membuatkan orang lain di sekeliling mereka sukar untuk menjalinkan kerjasama dengan mereka kerana sifat ego dan suka bertengkar.

Bagaimanapun, mereka boleh menjadi seorang pemimpin yang efektif kerana mempunyai fokus yang jelas untuk mencapai matlamat. Mereka ini melambangkan api yang digunakan dalam teori awal mengenai alam. Cahaya mereka terus menyala dan menjadi obor kekuatan untuk menghasilkan produktiviti yang maksimum.

Saranan bagi mereka ini, perlulah meningkatkan hubungan dengan orang lain secara emosional dan sosial. Selain itu berusaha untuk memuji usaha orang lain yang melakukan terbaik untuk mereka, kurangkan bersikap kritikal kerana boleh menciptakan rasa takut kepada individu lain.

Terima pandangan orang lain dan hindarkan diri daripada menyalahkan orang lain apabila terjadi sesuatu kegagalan.

Jingga

Mereka yang sukakan kesenangan duniawi, sukakan tentangan, suka berkhayal, suka membantu orang lain dan pelbagai lagi sifat.

Secara umumnya, mereka yang mempunyai aura berwarna jingga yang sangat ego dan terlalu mementingkan diri sendiri. Mereka ini hidup dalam dunianya sendiri tanpa menghiraukan keadaan orang lain di sekelilingnya. Ada kalanya mereka ini tidak menyukai kehidupan untuk berkeluarga. Namun, kebaikan mempunyai aura berwarna jingga, mereka ini panjang akal dan kreatif.

Saranan bagi mereka ini agar sentiasa menyedari bahawa kesederhanaan dalam hidup amatlah penting. Dengan mengamalkan kesederhanaan, mereka mampu hidup dalam semua lapisan masyarakat dan mula menjalinkan hubungan dengan orang sekeliling agar kehidupan senang pada kemudian hari.

Kuning

Mereka yang mempunyai aura berwarna kuning suka menyenangkan orang lain, sukakan humor dan membuat orang ketawa, suka mengambil risiko dan pelbagai lagi sifat.

Meskipun mereka ini pandai menghidupkan suasana di kalangan orang yang tidak dikenalinya, mereka juga pada masa yang sama berkecenderungan untuk berasa malu. Mereka adalah seorang yang suka memberontak, mudah sedih, selalu tertekan dan tidak bahagia.

Selain itu, mereka senang terjerumus ke dalam sesuatu perkara yang tidak elok. Bagaimanapun, mereka ini mempunyai kekuatan yang tidak terbatas, tidak boleh duduk diam dan gemar untuk bersukan.

Saranan untuk mereka yang mempunyai aura berwarna kuning agar sentiasa berhati-hati dan tidak terjerumus ke dalam perkara yang tidak elok.

Hijau

Mereka ini mempunyai pemikiran yang cepat, cemerlang dan pandai. Tidak suka diperintah, suka bersaing dan mempunyai personaliti serta penampilan yang menarik. Bagaimanapun, secara umumnya mereka terlalu agresif dan tidak boleh menerima pandangan orang lain di sekeliling mereka.

Mereka mempunyai sifat keras kepala, bongkak dan mengutamakan kesempurnaan serta tidak sabar untuk mendapatkan sesuatu. Mereka juga sukar untuk mengalah dan mengakui kesilapan mereka. Mereka ini mempunyai keperibadian yang kuat, cenderung untuk membuat keputusan sendiri.

Saranan bagi mereka ini agar mencari sahabat yang dapat menghargai kelebihan mereka kerana mereka selalunya cepat bosan dengan sahabat yang tidak mempunyai cita-cita dan tidak berusaha untuk memajukan diri sendiri.

Biru

Mereka ini mudah memberikan perhatian kepada orang lain dan mahir berkomunikasi. Mereka yang mempunyai aura berwarna biru selalu ingin disayangi tetapi agak ragu-ragu di dalam soal ini kerana mereka inginkan diri mereka disayangi melebihi daripada apa pun yang ada di dunia ini.

Selain itu, mereka ini terlalu dramatis dalam soal percintaan dan cenderung untuk memanipulasikan orang lain. Namun, mereka ini mampu merasakan dan mengetahui apa yang difikirkan orang lain dan mempunyai ramai teman.

Orang di sekeliling mereka sangat senang untuk bergaul dengan mereka tetapi malangnya mereka yang beraura biru senang untuk diambil kesempatan kerana sifat mereka yang murah hati dan tidak ego.

Saranan untuk mereka ini adalah untuk belajar untuk menjadi lebih tegas supaya tidak akan dipergunakan oleh orang lain.

Indigo

Mereka yang mempunyai aura berwarna indigo, adalah seorang yang lemah. Mempunyai kulit yang putih dan pucat. Tidak suka keluar rumah dan bermacam-macam lagi. Mereka ini juga kurang mempunyai tanggungjawab. Mereka tidak pandai menjalinkan persahabatan atau mempunyai hubungan sosial dengan orang di sekeliling mereka.

Selain itu mereka kurang pandai berkomunikasi dan sukar untuk menjadi seorang sahabat yang sentiasa berlaku adil. Jika mereka memerlukan teman, mereka lebih senang untuk berkhayal bagi mendapatkannya daripada berusaha sendiri.

Namun begitu, mereka ini tidak ingin membuat orang yang mereka sayangi itu kecewa dan sangat takut jika tiada orang yang akan menyayangi dan menyukai mereka. Malah, jika orang di sekelilingnya menjaga mereka ini dengan baik, mereka akan menjadi seorang sahabat yang peka, ramah, menghargai dan bersedia berkorban.

Saranan untuk mereka yang beraura indigo, mereka harus berani menghadapi dunia nyata.

Ungu

Bagi yang beraura ungu, walaupun mereka ini suka bersahabat, mereka suka mengambil ringan sesuatu perkara itu. Susah bagi mereka untuk sentiasa serius dalam sesuatu perkara.

Saranan bagi mereka, cubalah berusaha untuk mengambil sesetengah perkara itu lebih serius supaya mereka tidak akan dipandang ringan oleh orang sekeliling mereka.

Tiada Cinta Tanpa Pengorbanan

'Daripada Zaid bin Arqam, dia berkata: Suatu hari sahabat Rasulullah s.a.w. bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah yang ada pada korban itu?'' Jawab Rasulullah: "Ia adalah sunah bapa kamu, Ibrahim.'' Mereka berkata: "Apa yang akan kami peroleh daripadanya wahai Rasulullah?'' Rasulullah menjawab: "Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya.'' Mereka berkata: "Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?'' Rasulullah s.a.w. menjawab: "Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.'' (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)'

Bulan Zulhijjah merupakan bulan yang tersimpan pelbagai pengajaran bagi seluruh umat Islam selain daripada bulan yang dijanjikan pelbagai nikmat dari sisiNya. Maka tidak dapat lagi kita lari dari berbicara mengenai peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail yang membawa kepada apa yang dijadikan sebagai ibadat korban yang ditetapkan oleh Allah swt. Allah swt telah menceritakan di dalam al-quran mengenai dua makhluk yang amat dekat di sisiNya ini yang bermaksud:

'Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?. Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami),' (As-Saaffat:102-103)

Maha Suci Tuhan, menciptakan dua susuk tubuh yang amat akur pada perintah seorang Pencipta. Betapa sukarnya Nabi Ibrahim untuk bertemu semula dengan anaknya yang ditinggalkan sejak dari kecil,dan setelah bertemu diminta pula untuk dikorbankan. Namun,cinta Allah lebih agung dari segalanya,disuarakan jua riwayat mimpi kepada si anak kecil yang masih belum kenal pada dunia, tetapi telah mengenal erti cinta. Cinta seorang hamba kepada Tuannya.

Dua susuk tubuh ini sama-sama IKHLAS berKORBAN demi CINTA kepada Allah swt.Betapa lemahnya langkah Nabi Ibrahim ketika itu kerana tahu nasib yang akan menimpa Nabi Ismail,anak kesayangannya. Dan Allah swt tidak pernah lekang walau sesaat menghitung rintih hiba hambaNya ini,apatah lagi untuk menzalimi hambanya yang beriman yang akhirnya DIA mengurniakan rahmatNya:

'Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar;Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: ' (As-Saaffat:107-108)

Sahabat,ini merupakan kekasih Allah yang diuji sebegini rupa, bagaimana pula dengan diri kita? Cubaan dan dugaan yang dihadapi setiap hari kehidupan tidak ternilai berbanding mereka.Namun masih kita mudah berkeluh kesah dan lupa akan nikmat pemberianNya. Layakkah kita ke syurga berbekalkan mahar yang dibawa?

Cinta Nabi Ibrahim kepada Sang Pencipta mengorbankan si anak yang sangat dikasihinya,
Cinta Nabi Ismail menundukkan jiwa seorang bapa untuk redha pada ketentuan dariNya,
Bagaimana pula dengan cinta kita?
Mampukah kita mengorbankan segala harta dan masa
Apatah lagi jika yang menjadi taruhan adalah nyawa
Sungguh, kita umat akhir zaman yang lalai dengan dunia
Sehingga lupa kepada cinta kepada Pencipta
Masa dibazirkan dengan berhibur dan duduk bersahaja
Harta menjadi aset untuk berlumba siapa yang lagi kaya
Bila ditanya bila nak bertaubat,jawabnya bersahaja
Tunggu nanti bila meningkat tua
Sia-sia lah separuh usia amanah dari Yang Esa.

Marilah sama-sama kita bermuhasabah, telah cukupkah pengorbanan kita kepada agama ini sepertimana pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, kerana sejarah telah membuktikan, tiada cinta tanpa pengorbanan!