Thursday, July 16, 2009

Berbakti Kepada Ibu Bapa Menjamin Keberkatan Hidup

Penderhakaan kepada ibu bapa adalah sebahagian gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Terdapat masyarakat Islam yang menganggap memelihara dan menjaga kebajikan kedua ibu bapa bukan satu tanggungjawab penting. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat beranggapan menjaga rumahtangga sendiri dan anak-anak lebih penting daripada mengambil berat ke atas ibu bapa.

Paling malang lagi terdapat anak-anak yang menghantar kedua ibu bapa mereka ke rumah orang-orang tua dengan alasan sibuk bekerja ataupun sukar mencari penjaga. Ini adalah berita buruk dan amat menyedihkan ibu bapa.

Lebih menyedihkan terdapat ibu bapa yang telah ditempatkan di rumah kebajikan ini merayu kepada anak-anak supaya mengambil mereka kembali untuk tinggal bersama tetapi tidak diendahkan. Selain itu terdapat juga anak-anak lebih memuliakan dan menghormati kawan-kawan dan sahabat handai berbanding dengan layanan kepada ibu bapa mereka.

Umat Islam disaran jangan mencontohi kisah layanan buruk ‘Alqamah terhadap ibunya yang berlaku di zaman Rasulullah SAW dalam kisah ini, ‘Alqamah telah ditimpa sakit yang amat teruk dan tidak dapat mengucap ketika hampir saat kematiannya walaupun sahabat-sahabat Rasulullah SAW telah mengajarnya berkali-kali sehinggakan Rasulullah terpaksa memanggil ibu ‘Alqamah untuk bertanyakan apa hal sebenarnya yang berlaku.

Ibu ‘Alqamah telah menerangkan kepada Rasulullah SAW bahwa dia marah kepada anaknya kerana anaknya lebih mengutamakan isteri lebih daripada ibunya sendiri. Lihatlah sidang jamaah sekalian, walaupun ‘Alqamah adalah seorang yang sangat taat dan kuat ibadatnya kepada Allah SWT, rajin bersolat, berpuasa dan bersedekah tetapi disebabkan kemarahan ibunya Allah SWT telah menutup lidahnya untuk mengucapkan kalimah syahadah.

Islam memberi amaran keras terhadap mereka yang gagal melaksanakan hak-hak ibu bapa, menderhaka atau membiarkan ibu bapa yang sudah lanjut usianya menjalani kehidupan yang sukar dan menyedihkan. Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Tidak akan masuk syurga orang yang suka menunjuk-nunjuk pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang ketagihan minuman keras.”

Apa yang nyata, berbakti kepada kedua ibu bapa, bersikap mulia serta menunaikan hak-hak terhadap mereka adalah di antara tugas yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam. Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam surah Lukman ayat 14:

Maksudnya : “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan menceraikan susunya dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepadaku dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada akulah tempat kembalimu”.

Hakikatnya tanggungjawab anak-anak dalam melaksanakan hak-hak ibu bapa adalah hak yang paling penting sesudah menunaikan hak Allah SWT dan hak Rasul-Nya. Lantaran itu, hendaklah kita berbakti dan berbuat baik kepada mereka, mentaati mereka, berakhlak mulia sepanjang masa kepada mereka, mengutamakan mereka dalam segala kebajikan dan kebaikan lebih daripada diri kita sendiri, anak-anak dan juga isteri.

Sesungguhnya tanggungjawab anak-anak terhadap kedua orang tua bukanlah hanya dilakukan semasa hayat mereka masih ada sahaja tetapi berterusan walaupun mereka telah meninggal dunia. Anak-anak masih boleh menyumbangkan bakti mereka dengan pelbagai amalan seperti memperbanyakkan istighfar dan berdoa untuk mereka, bersedekah, membayar segala hutang piutang serta melaksanakan semua wasiat yang mereka tinggalkan selagi wasiat tersebut tidak bercanggah dengan hukum syarak. Selain itu menghubungkan silaturahim dengan teman-teman dan kaum kerabat serta orang-orang kesayangan ibu bapa juga merupakan salah satu cara berbakti yang boleh kita lakukan.

Kita perlulah beristiqamah dalam berbuat ihsan kepada ibu bapa supaya mereka dapat menikmati kualiti hidup yang sempurna di dunia ini. Jika kita gagal berbuat demikian, maka di kemudian hari kita akan menerima nasib yang sama. Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “Berbaktilah kepada orang tua kamu (ibu bapa), nescaya anak-anak kamu akan berbakti kepada kamu. Dan peliharalah kehormatan isteri-isteri orang lain, nescaya isteri-isteri kamu akan memelihara kehormatan mereka.”

Fahamilah hakikat bahawa setiap kita adalah anak dan setiap kita juga akan menjadi ibu dan ayah. Oleh itu berlaku ihsanlah kepada ibu bapa agar setiap anak yang akan menjadi ibu dan bapa, akan dikasihani dan disayangi oleh anak-anak pula. Sungguh membimbangkan jika ibu bapa kita hidup dalam keadaan terbiar, maka kemungkinan besar anak-anak yang akan menjadi ibu dan bapa juga akan turut terbiar dan tidak dipedulikan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 7 :

Maksudnya : “Jika kamu berbuat kebaikan, maka faedahnya adalah untukmu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka berbalik kepada diri kamu juga”.


Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



About Me

Wahai Tuhanku, inilah hambamu yang mengembara kembali menghadap rahmatMu, segala maksiat kembali kepada kebenaran, hambaMu berdosa menghadap dengan memohon keampunan. Ampunilah aku dengan kemurahanMu, terimalah aku dengan kurniaanMu dan pandanglah aku dengan rahmatMu. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang telah lalu dan peliharalah sisa-sisa hudupku. Sungguh, segala kebaikan itu seluruhnya berada padaMu dan Engkau adalah yang paling penyayang dan Maha Mengasihi kami.

Ya Allah, yang menampakkan berbagai permasalahan yang besar, yang akhirnya dituju oleh kaum yang bingung. Ya Allah, yang sangat berkuasa, jika menghendaki sesuatu, maka sudah cukup dengan berfirman:”Yakni kamu,”bererti ia ada. Kami telah bergelumang dengan dosa-dosa dan kepadamulah kami pohon keampunan baginya. Ya Allah, yang tidak diragui segala urusan yang banyak dan dengan pendengaran yang sempurna. Wahai Allah yang tidak pernah salah dengan permintaan yang banyak. Ya Allah yang tidak merasa bosan menerima permintaan yang terus-menerus, curahkanlah kepadaku perasaan tenang kerana ampunanMu nikmatnya rahmatMu. Ya Allah yang Maha Pengasih dari semua yang mengasihi. Engkau adalah Maha Kuasa atas segala sesuatu.